Suhuf Ibrahim Nabi_Ibrahim_a.s.

Rencana utama: Suhuf-i-Ibrahim

Al-Quran ada merujuk kepada "Suhuf Ibrahim", yang turut diterjemahkan sebagai "Lembaran Ibrahim" atau "Kitab Ibrahim". Semua ulama Muslim kebanyakannya bersetuju tiada lagi lembaran tersebut yang terselamat kerana hilang atau musnah ditelan zaman. Maka, lembaran ini merupakan suatu teks yang telah hilang.[4]

Suhuf Ibrahium dipercayai oleh sarjana Muslim mengandungi beberapa wahyu yang diterima oleh Nabi Ibrahim, yang kemudiannya ditulis dalam bentuk tulisan di atas lembar kain, kulit, pelepah, kulit kayu atau apa sahaja yang mungkin digunakan pada zaman itu memandangkan kertas seperti zaman sekarang masih belum dicipta. Kandungan sebenar Suhuf tersebut juga tidak dikisahkan dalam al-Quran.

Surah ke-87 al-Quran, Surah Al-A'la, merumuskan bahawa perkara yang disentuh dalam surah tersebut turut terkandung dalam Suhuf Ibraham dan Musa:

(9) Oleh itu berilah peringatan, kalau-kalau peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna);
(10) Kerana orang yang takut (melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu;
(11) Dan (sebaliknya) orang yang sangat celaka akan menjauhinya,
(12) Dia lah orang yang akan menderita bakaran neraka yang amat besar (azab seksanya),
(13) Selain dari itu, ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.
(14) Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya,
(15) Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang.
(16) Bahkan kamu utamakan kehidupan dunia;
(17) Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.
(18) Sesungguhnya (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam Kitab-kitab yang terdahulu, -
(19) Iaitu Kitab-kitab Nabi Ibrahim dan Nabi Musa

– Al-Quran surah Al-A'la, ayat 9-19 [5]